Masjid At-Taqwa, Mukim Berangan | 10 Julai 2025 —
Sempena memperingati peristiwa agung Hijrah Rasulullah SAW, Masjid At-Taqwa Mukim Berangan dengan kerjasama Pejabat Agama Jajahan Pasir Puteh telah menganjurkan Forum Hijraturrasul 1447H yang berlangsung pada malam 10 Julai 2025 bersamaan 4 Muharram 1447H.
Forum yang penuh pengisian rohani ini telah diserikan dengan kehadiran dua tokoh ilmuwan terkemuka, iaitu Ustaz Mohd Fadhli bin Sulaiman, Qadhi Jajahan Kota Bharu, dan Ustaz Nazri Mustafa, penceramah bebas yang tidak asing lagi dalam arena dakwah tanah air. Turut bertindak sebagai moderator forum ialah Ustaz Nasri bin Mohd Noor yang berjaya menghidupkan suasana dengan lontaran soalan dan kupasan yang menarik.
Antara intipati forum adalah perbincangan mengenai makna sebenar hijrah dalam kehidupan moden, cabaran umat Islam masa kini serta keperluan untuk terus berhijrah ke arah kebaikan, khususnya dalam memperkukuh akidah, akhlak dan jati diri sebagai seorang Muslim.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran masyarakat setempat yang memenuhi ruang solat utama masjid, menandakan sokongan padu terhadap program keilmuan seperti ini. Para hadirin turut menyatakan rasa syukur dan teruja dapat mengikuti pengisian ilmu secara langsung daripada para asatizah yang berwibawa.
Program diakhiri dengan penyampaian cenderamata kepada para panel serta jamuan ringan kepada para hadirin.
Semoga penganjuran forum ini menjadi titik tolak kepada transformasi spiritual dalam kalangan masyarakat dan menjadi asbab keberkatan di awal tahun hijrah ini.