Assalam wrt. Hidayah
adalah satu perkara yang sangat berharga kerana dari sanalah sebagai titik
tolak seseorang itu masuk Islam. Kemudian dari situ terus dia berusaha untuk
mendapatkan iman serta lain-lain lagi yang ada di dalam ajaran Islam. Atau
seseorang Islam itu telah terbuka pintu hatinya untuk beramal maka dari situlah
dia berusaha untuk mempelajari ilmu Islam dari sumber Al Quran dan Hadis serta
mengamalkannya. Firman Allah SWT:
Maksudnya: “Maka
sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah kepadanya nescaya Dia
melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam.” (Al An’am: 125)
Kalau seseorang
yang belum Islam, belum mendapat hidayah ertinya hatinya belum terbuka untuk
menerima Islam atau masuk agama Islam. Begitu jugalah seseorang yang berketurunan Islam,
jika hidayah belum didapati ertinya hatinya tidak akan terbuka untuk beramal
dan memperjuangkannya. Setelah berusaha mempelajari dan setelah hati terbuka
untuk beramal maka selepas itu mungkin akan mendapat taufik dari Allah Taala.
Ertinya apa yang diamalkan itu tepat atau berbetulan dengan kehendak Allah
Taala. Maka sempurnalah Islam seseorang itu kerana seluruh amalan telah
bergabung di situ di antara hidayah dengan taufik. Walau bagaimanapun setakat
hidayah itu pun sudah merupakan satu anugerah yang sangat berharga dari Allah
Taala yang Maha Pemurah. Ini kerana dari hidayah itu pintu hati telah terbuka
menjadi seorang Islam, atau seorang Islam telah terbuka pintu hatinya untuk
mempelajari dan mengamalkan ajaran Islam.
Oleh kerana
hidayah satu benda yang berharga, bukan semua orang mendapatnya atau
memperolehinya. Walau bagaimanapun, untuk mendapat hidayah ada bermacam-macam
sebab atau ada berbagai-bagai cara yang tidak sama di antara satu sama lain. Di
bawah ini di senaraikan beberapa sebab seseorang itu mendapat hidayah iaitu:
1. Mereka lahir di
dalam keluarga yang beragama, maka mereka mendapat didikan secara langsung dan
praktikal daripada suasana keluarga. Orang ini agak bernasib baik.
2. Mereka yang
lahir-lahir sahaja Allah telah bekalkan kesedaran dan petunjuk. Dari kecil lagi
sudah suka kepada kebaikan dan kebenaran. Mereka terus mencari dan mengamalkan.
Golongan itu amat sedikit. Ini adalah pemberian Allah secara wahbiah.
3. Orang yang di
dalam perjalanan hidupnya terjumpa golongan atau kelompok yang beragama Islam
dan mengamalkan syariat manakala dilihat kehidupan mereka begitu baik dan
bahagia lantas mengikut golongan itu.
4. Orang yang
sentiasa mencari-cari kebenaran, mereka sentiasa membaca, mengkaji,
memperbandingkan serta melihat-lihat berbagai golongan dari berbagai-bagai
agama dan ideologi serta bergaul dengan golongan itu maka akhirnya mereka
bertemu dengan kebenaran itu.
5. Golongan yang
mendapat pendidikan Islam, mendengar ceramah agama, ikut kursus agama, menghadiri
majlis-majlis agama maka mereka sebahagiannya mendapat petunjuk dari mengaji
dan mendengar itu.
6. Golongan yang
diuji oleh Allah, mungkin selepas kaya jatuh miskin, atau mendapat sakit teruk,
atau ditimpa bencana alam dan lain-lain lagi. Di situ dia sedar dan insaf.
Lantaran itu dia kembali mendekatkan diri kepada Allah SWT.
7. Ada golongan
yang mendapat kebenaran kerana Allah beri mereka mengalami alam kerohanian
seperti mimpi melihat alam Barzakh, mimpi melihat orang kena azab atau dia
sendiri yang kena azab atau melihat Kiamat atau Allah perlihatkan kepadanya
pokok sujud, pokok bertasbih, dan lain-lain lagi benda yang ajaib. Selepas itu
mereka pun kembali kepada kebenaran.
8. Ada orang yang
sedar setelah melihat ada golongan atau keluarga yang kehidupan dunianya begitu
hebat, rumah besar, kaya-raya, kenderaan yang mewah, harta banyak
tapi kehidupan keluarga itu sentiasa porak-peranda, krisis sering berlaku,
kasih sayang tidak ada, masing-masing membawa haluan sendiri, ukhwah tiada.
Maka dari peristiwa itu mereka sedar dan insaf bahawa kemewahan hidup di dunia
lagi tidak menjamin mendapat kebahagiaan, apatah lagi di Akhirat kelak.
9. Ada golongan
yang mereka sendiri alami kehidupan mewah, serba ada, apa hendak dapat, pangkat
ada, duit banyak, namun kebahagiaan tidak dirasai. Hidup di dalam keluarga
porak-peranda. Lantas mereka insaf dan sedar, akhirnya mencari jalan kebenaran.
10. Ada golongan
yang dapat petunjuk kerana ada orang yang soleh atau orang yang bertaqwa
mendoakannya, lantas doanya dikabulkan oleh Allah. Maka Islamlah dia, seperti
kisah Sayidina Umar Al Khattab dapat petunjuk kerana doa Rasulullah SAW.
HIDAYAH DAN TAUFIK
KENALAH JAGA
Hidayah dan taufik
adalah merupakan intan berlian maknawi dan rohani. Ia adalah sangat berharga.
Seperti jugalah intan berlian yang bersifat maddi (material). Sesiapa yang
memilikinya, dia dianggap orang kaya dan mulia. Begitulah orang yang memiliki
intan berlian maknawi dan rohani. Dia merupakan orang kaya Tuhan. Dia telah
mendapat segala-galanya. Sesiapa yang mempunyainya, hidupnya terpimpin.
Akhlaknya mulia. Syariatnya terjaga. Imannya teguh dan bercahaya dan dia
menjadi orang yang berbahagia.
Perlu diingat,
hidayah dan taufik seperti jugalah barang yang berharga, umpama emas, intan,
berlian, ia boleh hilang. Oleh itu kenalah jaga dan pelihara sebaik-baiknya
agar ia jangan hilang dari kita. Barang yang hilang dari kita, susah hendak
memilikinya semula melainkan terpaksa berhempas pulas berusaha mencarinya.
Kalau tidak ia tetap terus hilang dari kita buat selama-lamanya. Oleh kerana
itulah Allah SWT mengingati kita di dalam Al-Quran:
Maksudnya: “Wahai
Tuhan kami, janganlah Engkau gelincirkan hati-hati kami selepas Engkau memberi
kami petunjuk dan kurniakan kami rahmat dari sisi-Mu. Sesungguhnya Engkau
adalah Maha Pemberi.” (Ali Imran: 8)
MENJAGA HIDAYAH
DAN TAUFIK
Bagaimana menjaga
dan memelihara hidayah dan taufik agar ia kekal menjadi milik kita atau agar ia
tidak hilang dari kita. Di antaranya ialah:
1. Kita syukuri
nikmat Tuhan yang paling berharga itu. Kita rasakan bahawa ia adalah nikmat dan
pemberian yang tidak ternilai.
2. Kita istiqamah
mengamalkannya dengan tekun serta penuh rasa bimbang kalau-kalau Allah SWT
mengambilnya semula atau bimbang kalau Allah Taala tarik semula.
3. Kenalah
mujahadah selalu dengan penuh sabar. Terutama di waktu-waktu terasa malas
hendak mengerjakan kebaikan dan terasa ringan hendak melakukan kemungkaran.
4. Bergaul selalu
dengan kawan-kawan yang baik. Ini sangat membantu kita menjaga syariat di dalam
kehidupan dan kita terasa ada kawan.
5. Kalau kita
memang orang yang dipimpin, jangan terlepas daripada pimpinan. Adanya pimpinan
itu perlu kerana kita sentiasa mendapat nasihat, tunjuk ajarnya serta ilmunya
yang diberi dari masa ke semasa.
BAGAIMANA HIDAYAH
DAN TAUFIK DITARIK SEMULA
Hidayah dan taufik
kalau tidak pandai menjaganya ia akan diambil semula atau akan hilang semula
dari kita. Di waktu itu kita akan hidup terumbang-ambing. Tiada disiplin, tiada
istiqamah, malas beramal, ringan saja dengan maksiat, jiwa derita dan
sengsara walaupun punya kekayaan yang banyak dan serba ada. Di antara
sebab-sebab hidayah dan taufik ditarik balik ialah:
1. Kita derhaka
dengan guru kita yang pernah memberi tunjuk ajar kepada kita dan lari dari
pimpinannya. Di waktu itu kita kehilangan pemimpin. Terumbang-ambinglah hidup
kita.
2. Derhaka dengan
dua ibu bapa. Kita sia-siakan kedua-duanya. Kita biarkan ibu bapa tidak terurus
dan terjaga hingga terbiar kehidupan kedua-duanya. Lebih-lebih lagi kalau dia
marah atau rasa tidak senang dengan kita.
3. Apabila jiwa
kita telah terpengaruh dengan dunia, maka dengan ibadah sudah tidak seronok
atau telah mula terasa berat mengerjakannya. Maka ia perlahan-lahan luntur dan
mula cuai, dengan halal dan haram mula tidak ambil kira, akhirnya takut dengan
Tuhan perlahan-lahan dihakis dari hati kita hingga hilang semuanya sekali.
4. Menzalim orang
lain. Dengan sebab menzalim, rasa takut dengan Tuhan sedikit demi sedikit
dicabut. Selepas itu cuaipun datang. Malas beribadah. Kemungkaran dan maksiat
sedikit demi sedikit sudah berani dibuat. Begitulah seterusnya hingga hanyut
dan tenggelam di dalam maksiat.
5. Mula bergaul
bebas dengan orang-orang yang tidak menjaga syariat. Kemudian terus terasa
seronok dengan kebebasan itu. Kemudian terus terlajak dan sedap dengan perbuatan
itu dan selepas itu terus hanyut dengan arus kemungkaran dan maksiat. Takut
dengan Tuhan pun lenyap.