Masjid dan Surau untuk Pembangunan Ekonomi

KETUPAT 1MALAYSIA: Dr Hazland memotong ketupat yang dikatakan ketupat terpanjang yang pernah dihasilkan sebagai simbolik perasmian.




KUCHING: Semua masjid dan surau di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut akan ditransformasikan menjadi pusat pembangunan ekonomi dalam kampung.

Perkara itu ditegaskan oleh ADUN Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni yang memberitahu bahawa transformasi itu merangkumi fungsi masjid dan surau yang dipelbagaikan bukan sahaja menjadi tempat beribadah tetapi juga tempat penjana ekonomi penduduk kampung.

“Untuk pengetahuan, kita mempunyai perancangan untuk mempelbagaikan fungsi masjid dan surau yang mana ia akan ditransfomasikan menjadi pusat pembangunan ekonomi untuk setiap kampung di kawasan DUN Demak Laut,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Ramah-tamah Aidilfitri di Kampung Tabuan Lot di sini malam kelmarin.

“Mungkin ada yang sedia maklum bahawa empat masjid dan surau di kawasan DUN Demak Laut telah diberi kursus untuk menubuhkan koperasi atau syarikat atau kedua-duanya bagi menjana ekonomi kampung berkenaan,” katanya.

Dr Hazland menjelaskan, syarikat dan koperasi yang ditubuhkan di masjid dan surau akan membantu meningkatkan lagi taraf sosioekonomi masyarakat setempat.

“Contohnya kalaulah surau atau masjid ada koperasi atau syarikat, projek menaik taraf surau tersebut mungkin boleh disalurkan terus kepada syarikat atau koperasi surau berkenaan.

“Koperasi surau itu sendiri akan memilih kontraktor untuk kerja-kerja menaik taraf yang juga dilakukan secara bergotong-royong bersama penduduk dan ia telah kita lakukan di surau Kampung Tabuan Dani,” jelasnya.

Malah, katanya koperasi masjid atau surau juga boleh membuka Kedai Rakyat 1Malaysia yang menawarkan barang-barang runcit pada harga berpatutan di setiap kampung di kawasan tersebut.

Selain itu, Dr Hazland turut menyarankan agar setiap kampung di bawah DUN Demak Laut menubuhkan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) bagi memantapkan perpaduan masyarakat dalam kampung.

“KRT amat penting dan ia perlu ditubuhkan di setiap kampung, justeru saya amat menggalakkan setiap kampung dalam DUN Demak Laut mempunyai KRT,” ujarnya.

Hadir sama, Ketua Kaum Kampung Tabuan Lot Jas Said dan tetamu lain.

Read more: http://www.theborneopost.com/2012/09/18/masjid-surau-sebagai-pusat-pembangunan-ekonomi/#ixzz26pgWiRU5


by Rusnan Mustafa. Posted on September 18, 2012, Tuesday
Terbaru Lebih lama